Transisi muzik Malaysia secara umum dari awal era P.Ramlee
sehingga legasi yang dicipta Sudirman, Search dan Siti Nurhaliza mencipta
momen tersendiri buat bakat-bakat muzik yang cukup tersendiri ini.
Nama Sheila Majid tidak akan terlepas bila persoalan siapa ikon
muzik tempatan diajukan. Bermula cukup yakin dan berbeza dengan single
pengenalan - Pengemis Muda yang dimuatkan dalam debut Dimensi Baru (1985).
Dia menarik minat ramai penggemar muzik tempatan ketika itu
dengan groove serta attitude muzik yang disifatkan bercitarasa tinggi. Nama
Sheila Majid ketika itu sedikit sebanyak membuka ruang bagi pemuzik Pop dengan
pengaruh R&B dan Jazz seperti Fairuz Hussein dan Famieza.
“Boneka” - 13 Tahun Selepas Cinta Kita
Dalam temu bual bersama Selamat Pagi Malaysia, Sheila Majid
memberitahu Boneka mengambil masa 2 tahun pembikinan. 4 daripada 100 lagu
pertama yang diterima dipilih untuk dimuatkan dalam album ini.
Boneka hadir dengan 10 trak dalam nuansa yang saya sebut sebagai
“Pop Sheila” solid sebagai sebuah naskhah yang lengkap sebagai pengubat rindu
penggemarnya. Boneka lebih istimewa kerana menampilkan lagu ciptaan Azman Abu
Hassan berjudul Kasih Abadi yang disusun dan diterbitkan oleh Tohpati.
Boneka, Melukis Dunia dan Lebih Dewasa meneruskan legasi Sinaran,
Warna & Memori. Balada dalam Haruskah Ku Pergi, Aku Untukmu dan Kasih
Abadi sudah pasti menjadi pengubat rindu Kerinduan, Ku Mohon, Percayalah dan
Cinta Jangan Kau Pergi.
Tohpati yang bertindak sebagai produser bagi kebanyakan lagu dalam
album Boneka saya kira memahami apa yang dimahukan penyanyi senior seperti
Sheila Majid. Album ini datang dengan satu konsep yang solid dan tidak terlalu
mencuba untuk berkompromi dengan pasaran semasa.
Comments
Post a Comment