#PerspektifMuzik Menyelongkar Ilham Indie – Pasaran Muzik Inggeris, Cross Over Market & Cerita Kebangkitan Sub-Genre
Bercerita tentang kebangkitan
muzik indie yang banyak digerakkan Positive Tone di pertengahan 90-an sehingga
era millennium – muzik Malaysia bergerak atas landasan revolusi secara total
dalam skala yang cukup besar.
Saat kemunculan nama-nama seperti
Butterfingers, Too Phat, O@G, Jason Lo, Pete Teo, Juliet The Orange, Deanna
Yusuf dan lain-lain memberi warna dalam pasaran muzik tempatan yang ketika itu
agak stuck dengan kitaran ilham muzik Saari Amri, Adnan Abu Hassan dan rock-rock
ala Search, Wings dan XPDC.
Hal ini memberi lebih ruang untuk
artis yang bergerak secara sendiri mendapat saluran tepat memperkenalkan bakat
mereka ke peringkat lebih komersil dan seterusnya dikenali untuk mendapat radio
airplay, pendedahan media cetak juga elektronik.
Tidak sekadar itu, karya-karya
artis alternatif ini juga mendominasi sebahagian pencalonan besar Anugerah
Industri Muzik terutama bagi kategori teknikal seperti rakaman album, kulit
album, susunan muzik, muzik video dan lain-lainnya. Ini kerana dominasi utama
kategori vokal dan album masih lagi diberi pada naskhah Pop komersil yang punya
value menjadi naskhah malar segar.
POSITIVE
TONE, KENNY TAY, JEFF SIAH & MR.MAN – AHMAD IZHAM OMAR!
Dua nama ini Jeff Siah dan Kenny Tay
membuka Positive Tone dengan memperkenalkan album solo Leonard Tan yang pertama dengan hit Bintang Bukannya Satu. Langkah awal Positive Tones tidaklah begitu
mendapat perhatian apatah lagi album Leonard Tan ketika diedarkan agak
dipandang sepi.
Hanya selapas Ahmad Izham Omar
dan Paul Moss join PT barulah jalan cerita syarikat rakaman ini mendapat
perhatian yang lebih lagi dengan idea yang lebih segar dan besar. Saya kira
ketika pertengahan 90-an tiada siapa yang berani seperti mereka dalam
menghasilkan album yang besar ambisinya.
Lihat saja bagaimana impak 60’s
TV daripada O@G mendapat perhatian luar biasa ketika diedarkan pada tahun 2004
dan momentum kehebatan mereka tidak berhenti selepas itu. Single Name of the Game, Knocked
Silly, Slumber, Biru, Permysuri dan Nowwhy2
menjadi lagu-lagu yang ikonik dan evergreen
sehingga hari ini.
Nyata Izham dan Paul Moss tidak
mahu hanya terikat pada idea alternatif rock semata-mata selepas Butterfingers berjaya dengan
gemilangnya, PT memperkenalkan pula hip-hip Too Phat yang mencipta fenomena luar biasa. Ya saya ulang fenomena
luar biasa.
Betapa luar biasanya Too Phat,
sehingga berjaya menarik pasaran muzik biduanita Sharifah Aini dalam duet
berjudul You. Tanpa henti di situ Too Phat meneruskan segala idea kolaborasi
hebat mereka bersama Inul dan penyanyi nombor satu negara Siti Nurhaliza.
When Izham wanted to release OAG questions flew. “It’s in English?! What’s this thing called Alternative? And they are only 16? Who will play their music? Where can we stock their CDs in the shops?” There was no place or space for Malaysian artists making it in English. - (Juice, 2009)
Persoalan di atas diajukan Izham
saat dia mahu memasarkan O@G dalam pasaran komersil. Dan dek kerana keyakinan
yang tinggi dan pemikiran ‘smart’ Izham dalam menilik pasaran muzik Malaysia,
ternaya O@G berjaya dipasarkan secara meluas melangkaui batasan juga kerisauan Bahasa
yang didebatkan.
Selepas itu satu per satu
percubaan PT dalam meperkenalkan bakat inggeris tempatan. Ada yang berjaya, ada
yang tidak – lumrah dalam percaturan. Setidaknya ia satu usaha yang cukup bagus
daripada mereka kerana jika tiada yang mahu memulakan maka tiadalah revolusi
yang akan dicipta.
EKSPRESI
& KREATIVITI DALAM BERKARYA
Saya kira Izham dan pasukannya telah
lakukan sesuatu yang sangat besar untuk pasaran muzik indie khususnya. Banyak bakat-bakat
underground tidak lagi duduk di kepompong serupa tetapi berani untuk explore jauh ke pasaran yang lebih luas.
Selepas PT dijual kepada syarikat
rakaman antarabangsa EMI pada tahun 1998, pasaran muzik Inggeris terus bergerak
baik. Mereka masih lagi bebas berkarya tanpa kekangan dalam kreativiti. Saya suka
menyebut di sini album-album seperti 360
(Too Phat), FIX (Deanna Yusuf), Transcendence (Butterfingers), Opera Radhi-O
Friendly (O@G), Innuendo, Tubed (Ferhad), Poetic Ammo dan Hati Ini (Liza Aziz)
menjadi album-album yang mengubah pasaran muzik tempatan.
Selepas O@G memperkenalkan
Slumber, album studio Bahasa Malaysia pertama mereka – ramai kugiran tempatan
yang mahu membuat album dalam Bahasa ibunda. Lihat sahaja Flop Poppy yang juga bermula dengan album inggeris dan kemudian KRU
memperkenalkan Pretty Ugly dengan
single quirky Francis Ford Coppola
yang ideanya diambil daripada keratan akhbar dan dijadikan lagu.
Izham mengundurkan diri daripada
kerjasa EMI pada tahun 2003 selepas EMI mahu menghentikan terus Postive Tones
dan menjadikan ia seratus peratus EMI. Bermakna tiada lagi penggunaan nama
serta logo di setiap produk yang dihasilkan.
Menerusi PT juga kita membuka ruang bakat-bakat R&B untuk berdiri sama hebat dengan bakat lain. Innuendo membawa pulang 6 trofi Anugerah Industri Muzik Ke-5 adalah satu revolusi dan sejarah yang akan sentiasa diingati. Begitu juga dengan Ferhad, Liza Aziz dan lain-lainnya.
Masih ingat Gerhana Ska Cinta? Ritma
Ska dan Reggae disatukan dengan hip-hip dalam album The Bew Authentic (2004) memberi
impak berbeza dan pada masa yang sama menambah keterujaan dalam senario muzik
tempatan ketika itu.
Kolaborasi mereka bersama Radhi
menerusi Senyuman Ragamu dan Too Phat menerusi lagu Shake Yer Body begitu baik
sekali penghasilannya. Tidak salah jika saya katakan The New Authentic menjadi
antara album paling penting dalam perkembangan muzik ska tempatan.
Bersama Clorkworks Records yang dinaungi
WP Tang memperkenalkan kita dengan nama besar lapangan indie yang lain seperti The Officials, A.C.A.B dan The Times yang masing-masing punya
momen tersendiri dalam pemasaran muzik mereka.
Saya kira detik era 2000 antara
yang paling mengujakan sekali. Semua bakat-bakat muda ketika itu mendapat
sokongan penuh baik orang industri, pengikut muzik dan mastarakat secara
keseluruhannya.
Dan di sini jugalah wujudnya
kelompok cross over market yang mampu
menikmati pop radio dan pada masa yang sama terbuka menerima bunyian baru dan corak
baru muzik tempatan ketika itu. Jika mereka
tidak faham sepenuhnya sekalipun akan muzik yang dibawa setidaknya mereka mula
boleh menerima kemunculan bakat-bakat ini.
KEMUNCULAN
SYARIKAT RAKAMAN INDIE
Masih ingat FatBoys Record dan
Laguna Records? Dua label yang meneruskan kelangsungan perjuangan bakat-bakat
indie tempatan. Nama-nama seperti Disagree,
Love Me Butch, Seven Collar T-Shirt, Estrella dan Couple mungkin tidak berjaya menembusi pasaran semasa tetapi mereka
adalah nama-nama penting dalam meneruskan apa yang dimulakan PT.
Kemudian barulah mucul Hujan, Bunkface, Estranged dan Meet Uncle Hussein yang kembali membawa
nama bakat indie ke pasaran muzik yang lebih luas. Siapa saja pernah menyangka
indie band akan bawa pulang trofi Anugerah Juara Lagu?
Estranged membuktikan dengan hit Itu Kamu yang mencipta sejarah yang cukup tersendiri.
Kemudian menyusul Bunkface,
Monologue, Amir Jahari, Bo dan Noh di pentas AJL bersaing dengan nama-nama
komersial ketika itu seperti Jaclyn Victor, Shila Amzah, Hafiz dan Alyah. Di sini
tiada lagi istilah indie. Evolusi muzik tempatan tidak lagi berat sebelah pada
naskhah-naskhah komersil semata-mata. Masih ada ruang untuk bakat indie ke
depan dan diterima dengan meluas.
FENOMENA
INDIE HARI INI – ANTARA IDEA ASLI, CEDOK & GUNA PAKAI
Kita ada banyak potensi besar
dalam bidang muzik hari ini. Nama-nama seperti Masdo, Sekumpulan Orang Gila
(S.O.G) dan paling dominan tahun ini, Nastia
yang berjaya memasuki carta lagu popular hari ini dengan bantuan Faizah Tahir
menerusi Faithful Music.
Bakat-bakat ini bukanlah serratus
peratus original. SOG mengingatkan saya pada corak nusantara Butterfinger, Orkes A. Hizadin terlalu Hujan (mungkin
kerana diproduksi AG Coco) dan Masdo punya pakej bagus secara menyeluruh untuk mendapat
perhatian lebih meluas.
Mendapatkan yang asli seratus peratus
mungkin sesuatu yang mustahil tetapi setidaknya kita masih ada bakat-bakat yang
mahu meneruskan kelangsungan bunyi-bunyian pop tak masuk radio ini. Sokongan berterusan
harus diberikan supaya kita tidak hanya didendangkan salinan muzik Saari Amri
yang diulang pakai.
Namun apa yang saya kira kita
boleh banggakan hari ini tentu saja melihat bagaimana Loque berkembang sebagai
pemuzik yang solid bersama Monoloque menyelongkar khazanah muzik Melayu dengan
evolusi yang mahu diciptanya. Atau lihat saja Noh Salleh hari ini yang lebih
sleek, solid, dan berada di kelasnya yang tersendiri.
Comments
Post a Comment