#BetariSeni Noraniza Idris: Dasawarsa Seni Penyanyi Saduran ke Biduanita Irama Melayu Asli Paling Dihormati
Bermula di pertengahan era muzik 80-an sehingga hari ini Noraniza Idris masih belum berhenti apa lagi mengalah memperjuangkan irama Melayu Asli yang dijuangkan lebih 3 dekad ini.
Seperti
penyanyi seangkatan Ramlah Ram, Wann, Rohana Jalil dan lainnya – Noraniza Idris
juga mula menjual bakat nyanyiannya menerus program Bintang RTM pertama kali
pada tahun 1983 dan diikuti tahun 1985. Biar hanya layak ke peringkat separuh
akhir, bakat yang dimiliki akhirnya menarik minat Life Records yang menyunting
Biduanita ini sebagai penyanyi rakaman.
Biar pun di
saat itu dia harus siap bersaing dengan penyanyi yang seusianya namun Noraniza
berdiri sendiri dengan bermula sebagai penyanyi saduran yang merakam semula
hit-hit tempatan dan nusantara seperti Lela Manja. Kemunculan pertamanya
menerusi album kompilasi Melayu Deli (1985) yang turut menampilkan nama besar
seperti L.Ramli dan S.Jibeng.
Percubaan Noraniza
Idris sebagai penyanyi di sekitar tahun 80-an sebetulnya tidaklah begitu
dipandang kerana pada ketika itu penyanyi yang merakam lagu-lagu saduran dikecam
dengan stigma penyanyi gred B.
Populariti
Ramlah Ram dan Wann ketika itu juga menjadi faktor nama Noraniza sedikit
tenggelam dan tidaklah begitu diberi perhatian besar sekalipun percubaannya
merakam lagu-lagu Pop seperti Inginku
Sandarkan Harapan rakaman semula lagu asal Hetty Koes Endang not bad at all cumanya saya kira di era
itu pendengar, A&R dan orang-orang radio lebih selektif serta peka terhadap
keaslian. Jadi yang harus diangkat hanyalah yang terbaik sahaja (tidak seperti
hari ini).
PERCUBAAN DEMI PERCUBAAN YANG
MEMATANGKAN KRAF SENI NORANIZA IDRIS
Namun
sebagai seorang penyanyi yang besar jiwa dan cintanya terhadap muzik, Noraniza
Idris evolve sebagai bukan sahaja
penyanyi tetapi performer – penghibur yang bekerja keras dalam menghasilkan
kraf seninya sehingga dipandang dan dihargai.
Album pertama bersama Sony Music terbitan Ramli MS & Jimmy Ali |
Selepas
tamat kontrak bersama Life Records, Noraniza Idris membawa visi baru bersama
Sony Music menerusi album Pop Tradisional yang cukup baik penghasilannya pada
tahun 1992. Album yang diterbitkan Ramli
MS dan Jimmy Ali (dua individu
penting pembikinan album Unplugged Ziana Zain) ini menampilkan sisi Pop yang
digabung elemen nusantara dalam 10 trak yang dimuatkan.
Mendengar
kembali trak yang disusun semula Ramli MS dalam lagu seperti seperti Rindu-Rinduan dan Alangkah Indah Di Waktu Pagi buat saya fikir album ini memberi
suntikan yang sedikit moden tetapi agak sukar diterima ketika diedarkan. Album
ini sekali lagi dipandang sepi, tetapi sejujurnya mendengar kembali album ini
(di YouTube) buat saya fikir terlalu banyak elemen muzik yang bagus harus
dihayati dan dijadikan rujukan.
Kembara seni
muzik Noraniza Idris selepas itu banyak berlegar dengan kolaborasi bersama
Abdullah Chik sehinggalah legenda muzik ini menghembuskan nafas terakhir dalam
salah satu persembahan bersama Noraniza Idris di Kelantan sekitar 1995.
KEBANGKITAN SEMULA DAN FENOMENA
ALA DONDANG
Nama
Noraniza Idris selepas itu sepi untuk beberapa tahun sehinggalah terbukanya
syarikat rakaman Suria Records (SRC) memberi satu lagi peluang untuknya melakukan
apa yang dia percaya. Dan ya, kali ini dengan usahasama Pak Ngah dan S.Atan,
Noraniza Idris mencuri segala tumpuan yang ada pada legasi muzik Pop ketika itu
dengan single Awallah Dondang yang
cukup besar skala penerimannya.
Nyata album Ala Dondang memberi justifikasi atas
usaha keras dan keyakinan bakat ini dalam memperjuangkan jalinan muzik Melayu
Asli untuk diterima lebih meluas dan berada di kasta yang lebih tinggi dan
dihormati.
Ala Dondang
berjaya dijual sehingga 200,000 unit dan album ini turut mendapat pengiktirafan
Anugerah Industri Muzik bagi kategori Album
Pop Etnik Terbaik dan sekali gus mendapat pencalonan Album Terbaik tahun 1998.
Tanpa mahu menoleh
ke belakang, Noraniza Idris bersama SRC bergerak laju untuk terus menghasilkan
lagu-lagu tradisi Melayu ini ke peringkat lebih tinggi. Maka terhasil Pop Dikir
dalam Dikir Puteri (Album Mashyur) dan
eksperimentasi nuansa Borneo dalam Ngajat
Tampi (Album Bekaba) dan akar muzik Sewang milik orang asli dalam Iboq (Iktiraf).
Iboq pernah
tercalit kontroversi seketika pabila pihak RTM memutuskan untuk menggali isi
lagu tersebut sebelum diberi airplay. Namun menurut Noraniza dalam salah satu
artikel Utusan Malaysia (https://goo.gl/QStBDU) lagu tersebut dibikin dengan kajian mendalam beriring
kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Pahang.
Begitu halus sekali usaha Noraniza Idris dalam
menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai pemuzik agar segala yang terhasil bukan
semborono. Setiap lagu dihasilkan berisi dan didahului dengan kajian mendalam sebelum
dikomersilkan bagi pasaran meluas. Kerja keras yang saya cukup sanjung usahanya.
Ternyata
kreativiti penyanyi ini tidak hanya terikat pada penghasilan lagu yang tersendiri
sahaja tetapi dia bergerak kemas dan bijak dengan menggunakan pentas sebagai ruang
untuk dia terus bereksperimentasi dan berkreativiti.
Pentas yang
saya maksudkan tentu saja Anugerah Juara Lagu. Noraniza saya kira sangat bijak
menggunakan peluang yang ada untuk digunakan sepenuhnya dengan cukup
bermanfaat. Bermula dengan pembabitan AJL 1997 dengan Awallah Dondang maka seMalaysia
bergemalah irama Zapin didendang penuh santun dan disiplin di pentas AJL.
Kegigihan
serta kerja keras bintang ini dalam memberikan persembahan terbaik sebetulnya
bukan untuk apa jua pengiktirafan tetapi saya kira niat sebenarnya untuk
mengetengahkan lagu-lagu tradisi ini ke peringkat lebih luas dan dikenali juga
difahami adalah lebih tinggi nilainya.
Persembahan-persembahannya
di pentas AJL memberi warna yang cukup tersendiri. Pengalaman sebenar menikmati
muzik di pentas dengan iringan muzik live yang mengasyikkan.
Siapa saja boleh lupa dengan persembahan cukup kemas Hatinya Tak Tahan?
Liuk lembut bahasa
tubuh dalam gerak tari yang disusun dengan disiplin tinggi cukup magical sekali. To be honest saya masih kurang
setuju juri memilih Erti Hidup (Dayang Nurfaizah) sebagai juara Etnik Kreatif
kerana estetika seni muzik dan persembahan Hatinya Tak Tahan begitu agung
sekali penghasilannya.
Saya tidak
pasti berapa ramai individu yang memasuki bidang seni muzik komersil tempatan yang
mengendong disiplin setebal Noraniza Idris. Jauh sekali mahukan glamor atau populariti
kerana saya percaya kehadiran bintang ini sebagai anak seni sekadar mahu
berkongsi bakat serta kepercayaannya terhadap muzik Melayu Asli yang semakin
haus dan terpinggir ini.
Saya tidak
mahu begitu mengulas album-album awal Noraniza bersama SRC kerana saya faham
semua sudah sedia maklum akan rencana muziknya. Cuma dua album solo penuh
terakhirnya, Aura (album terakhir
bersama SRC) dan Sawo’ Matang (album
studio selepas fasa SRC) yang mahu saya kongsikan betapa besar dan universalnya
Noraniza Idris dalam menzahirkan karyanya.
Sepanjang
bersama SRC album Aura antara kegemaran peribadi saya. Menerusi album ini
Noraniza sudah mula bereksperimen dengan muzik yang lebih beragam atau fusion. Membawa
standard muzik irama Malaysia ke peringkat lebih global.
Produksi
Aura sangat hebat menurut saya. Lihat saja bagaimana Hala Timur mengembalikan
gemilangnya dikir barat dengan suntikan melodi dan lirik yang cukup humanis
sekali. Itu belum saya ulas lanjut skala besar muzik dalam lagu seperti Berendoi,
Putera Lantai Emas, Syakuntala dan Raja Alang.
Semuanya bergerak
atas satu repertoire muzik yang cukup
gemilang dan tinggi nilai seninya. Mendengar Aura berserta inlay album ini
mampu membantu kita sebagai pendengar memahami isi lagu yang ditulis. Noraniza menulis
terperinci akan makna setiap lagu yang ada dalam album ini.
Di sini saya
kira nilai hiburan dalam lagu-lagunya bersifat ilmiah. Namun sayangnya jika
anda tidak memiliki fizikal album ini anda tidak faham apa yang saya maksudkan.
Cara terbaik menikmati Aura adalah dengan membaca isi yang ditulis dalam album
ini.
Begitu juga
dengan Sawo’ Matang sebuah lagi persembahan cukup rich hasil bunyiannya. Kualiti
rakaman album ini dengan susunan string, bassline power dan kombinasi vokal
Noraniza dan back-up vocal yang menyatu baik.
Sawo’ Matang
bagi saya adalah satu pelayaran muzik nusantara Melayu yang cukup halus
penghasilannya. Setiap kali mendengar album ini akan sentiasa wujud kekaguman pada
setiap lagu yang dihasilkan. Dua lagu ciptaan Noraniza Idris dalam album ini
Hatinya Tak Tahan dan Ayuh Juragan! Masih saya letakkan sebagai lagu terbaik dalam
legasi muzik tradisi tempatan.
Mendengar Sawo’
Matang mengingatkan saya pada estetika seni filem dan muzik Drupadi atau Setan
Jawa yang dimodenkan dengan bunyian synth dan dikemaskan dengan susunan muzik orchestra yang cukup membuai.
Dengarkan sahaja
betapa indahnya susunan muzik Disebut Jangan Dikenang Jangan. Jauh saya
melayang membayangkan lagu ini dipersembahkan dalam full string orchestra secara live.
Dan feel Noraniza dalam lagu ini
melampaui mana-mana persembahan lainnya.
KES CERAI SMS DAN TENGGELAM BURAM
SEBUTIR BINTANG
Tahun 2005 selepas fasa Sawo’ Matang Noraniza Idris dihimpit
kontroversi. Saya kira ini lumrah seorang Primadona – jatuh bangun yang
menjadikan ia azimat juga kekuatan untuk meneruskan apa yang diperjuangkan.
Kisah diceraikan Fareez melalui SMS menjadi buah mulut, perhatian
media dan massa yang membuatkan kerdip bintang Primadona ini buram sehingga
selepas itu masyarakat seperti meminggirnya.
Dalam satu artikel panjang yang
cukup menarik daripada Utusan Online Noraniza Idris bercerita lengkap tentang
perceraiannya yang sedikit sebanyak menggangu fokus ketika menyertai Separuh
Akhir Muzik-Muzik.
Meskipun hatinya tidak tenteram kerana dibebani pelbagai masalah,
Noraniza tetap meneruskan perjuangan seninya termasuk menyertai pertandingan
separuh akhir Muzik -Muzik pada Oktober lalu.
"Kalau ikutkan hati, saya tidak mahu menyertainya tapi saya
kasihan dengan peminat-peminat yang mengharapkan penyertaan saya itu.
Belum pernah saya menyertai Muzik-Muzik tanpa pergi latihan. Terasa diri saya seperti artis yang tidak berdisiplin pula.
Bila tidak buat latihan, saya sedikit
gelisah sewaktu menyanyi di pentas. Alhamdulillah, saya terpilih juga ke
peringkat akhir Muzik-Muzik yang akan berlangsung pada 15 Januari depan (2005).
"Sebenarnya sewaktu di belakang pentas pada pertandingan
separuh akhir Muzik-Muzik itu, saya sedih sangat kerana selama ini sebelum
menyanyi, Fareez akan peluk saya untuk memberi semangat. Saya masih tidak dapat
mengubah rutin yang sering dilakukan selama ini."
"Sebelum bertanding, saya tetap
hantar SMS kepadanya minta restu walaupun dia tidak pernah membalas SMS saya
selepas saya menerima SMS daripadanya pada September lalu,'' kata Noraniza
Idris menceritakan pengalamannya selepas tidak tinggal sebumbung dengan suami.
- Petikan Utusan Online (2005)
Masih lagi
meneruskan legasi warisan muzik dan budaya tradisi Melayu, Noraniza Idris hari
ini aktif dalam kempern #SaveIramaMalaysia dengan pelbagai aktiviti kebudayaan
di bawah Malay World Cultural Paradise (MWCP) badan yang mencari dan melatih
bakat-bakat muda yang berminat dalam seni budaya Melayu.
Tahun lalu
sahaja dia sudah menyiap edarkan dua single Wangikanlah Hatimu ciptaan Amir
Jahari dan AG Coco dan Permata Saadah (Rosli Selasih) yang cukup hebat
penciptaannya. Saya masih keliru mengapa radio masih tidak mahu memainkan Wangikanlah
Hatimu yang cukup moden, catchy dan sedap sekali melodinya.
Betari seni
yang satu ini saya kira sudah terlalu banyak berbudi dalam meneruskan
kelangsungan akar budaya Melayu yang entah siapa lagi memiliki jiwa sebesarnya.
Saya kagum hormat dengan segala usaha yang dilakukan. Bukan mudah, bukan
sedikit usaha kudrat yang telah dilaksanakan.
Tapi di mana
penghargaan yang kita letakkan padanya? Radio sudah tidak mempedulikan apa lagi surat khabar jauh sekali majalah yang semakin laju mengejar muka baru bagi
kepentingan rating penerbitan.
Mungkin yang tinggal hanya dia yang mahu terus meninggikan akar budaya muzik Melayu. Semoga usaha
mulia Noraniza Idris ini berbayar setimpal dengan apa yang telah dia usahakan. Usah
biar sampai masa hilangnya permata ini beriiring kesal baru kita mahu
mengangkatnya kembali.
Comments
Post a Comment