Dalam entri kali ini saya ingin bercakap tentang tiga bakat
muda yang punya potensi besar untuk membentuk pasaran muzik lokal ke tahap yang
lebih berkelas dan global. Biar bukan terlalu baru dalam pasaran muzik tetapi
dengan segala potensi yang ada boleh dikembangkan bagi membantu meluaskan lagi
spektrum muzik tempatan supaya tidak lagi stuck dengan idea serupa.
Kenapa hal ini penting?
Sebab kita ketinggalan sangat jauh dengan Indonesia. Melihat
betapa besarnya penerimaan terhadap bakat urban seperti Dipha Barus (Best
Dance Production), Adrian Khalif (Best Rap Hip-Hop), Teddy
Ahitya (Best New Comer), Soundwave, Eva Celia dan
lain-lainnya yang diterima baik bukan sahaja di pentas anugerah tetapi secara
menyeluruh – radio, strim digital, konsert dan sosial media.
Malaysia bukan tiada bakat yang sebagus nama-nama yang saya
sebut di atas cuma pendedahan serupa sahaja yang tidak diberi. Media Melayu
khususnya bagai tidak berminat untuk menulis tentang bakat-bakat yang keluar
daripada kepompong pasaran tipikal balada Melayu.
Jadi di ruang kecil yang ada kami di Muzik Kita berharap
dapat memberi anda sedikit sebanyak input yang boleh kami kongsikan tentang
bakat-bakat yang terpinggir ini. Semoga bermanfaat untuk semua.
ALI AIMAN mula merilis single pertamanya di iTunes
dan Spotify berjudul Jangan Kau Pulang pada tahun 2013 feel
Pop pengaruh Dewa 19. Selepas itu, Ali mengubah corak muziknya daripada Pop
kepada elektronik dan downtempo ala James Blake.
Maka lahirlah debut yang cukup solid sempurna
berjudul Overture yang diedarkan sekitar 2014.
Ketika EP ini menjengah pasaran digital Ali mengubah landskap muzik indie
tempatan dengan sentuhan produksi muzik kelas satu.
Dengarkan saja bagaimana lagu-lagu seperti Breathe,
Every Little Things, Armour & Glass, Always dan all
time favorite saya Pavane For a Dead Princess yang
dipakejkan menjadi satu pengalaman menikmati muzik TEMPATAN yang cukup
membanggakan.
2016 Ali Aiman kembali dengan EP kedua yang lebih matang dan
bersifat komersil. Lagu seperti Cover You (Duet Talitha Tan)
dan Morning Sun bergerak dalam prisma muzik yang saya kira
cukup global dan besar sifatnya untuk dipasarkan secara besar-besaran.
KUIZZ SHAH mula mendapat perhatian di SoundCloud dengan single Uncool yang
berlegar di strim digital sekitar 2016. Selepas itu langkah Kuizz melangkah
sehingga hari ini dia menjadi Top 2 Asia’s Dream Come True yang
dianjurkan Spotify bersama Air Asia mengetepikan bakat lain dari Jakarta dan
Singapura.
Apa yang lebih menarik adalah peluang untuk Kuizz bersama
produser terkemuka David Foster dalam sesi mentoring session Asia’s
Dream Come True. Single perdana Kuizz selepas Uncool berlegar
tahun lalu dengan judul Silence.
Bakat Kuizz dalam muzik cukup menyeluruh daripada mencipta
lagu, menyanyi sehingga produksi muzik lengkap. Seperti Ali Aiman, Kuizz bakat
yang tahu akan krafnya sebagai pemuzik tanpa berkompromi dengan kualiti yang
biasa-biasa. Semuanya cukup solid!
Jika Jakarta boleh bangga dengan Dipha Barus kita patut bangga dengan Kuizz Shah.
Dipha Barus sudah menjejak pasaran massa dengan kolaborasi
bintang besar seperti Bunga Cinta Lestari dan Titi DJ – saya kira tidak
mustahil juga untuk Kuizz mendapat perhatian bakat tempatan seperti Yuna dan
Dayang Nurfaizah.
Antara produksi besar yang mendapat sentuhan Kuizz setakat
ini adalah single Aina Abdul – Reminiscing dan album solo
kedua Bil Musa berjudul Young Adult. Mendengar lagu-lagunya, saya kira Kuizz
faham pasaran semasa global dan bijak dalam melokalkan bunyian yang diciptanya.
ALIF bukan
nama baru bidang muzik tempatan tetapi Alif sejujurnya semakin matang sebagai
produser muda yang punya kelebihan dalam merencana corak muziknya. Saya
sebetulnya mula tertarik dengan Alif ketika dia merangka Bukan Hal Aku
(Kaka) yang ketika dipasarkan bagi saya cukup segar sekali.
Kemudian Alif datang bersama single solonya Mama namun
tidak begitu mendapat perhatian. Perjalanan muziknya belum terhenti. Selepas
Bukan Hal Aku, Alif bersama Kaka menghasilkan Terima Kasih dan yang
terbaru Kembali.
Alif baru-baru ini tampil dengan single terbarunya Buat
Selamanya dan turut menjadi individu penting dalam single terbaru Joe
Flizzow – Drop yang juga baru diedarkan sebulan lalu.
Satu perkara yang saya suka tentang Alif adalah cara dia
menulis bait lirik yang menyatu baik dengan melodi yang disusun. Biar hanya
menggunakan Bahasa bual seharian, lagu-lagunya tidak kedengaran pretentious atau
mencuba.
Terus terang saya benar-benar mahu melihat tiga bakat ini
bersinar tahun ini. Saya kira Alif sudah berada di landasan yang betul cuma dia
perlu lebih diterima luas.
Saya juga berharap agak Kuizz Shah dan Ali Aiman dapat
melakukakn kolaborasi besar bersama bintang ternama supaya setidaknya satu kaki
sudah melangkah ke persada mainstream. Yang tinggal hanyalah usaha
tanpa putus asa dan tidak sesekali berhenti.
Rujuk sahaja bagaimana Too Phat mendapat
perhatian besar saat mereka melokal-kan hip-hop dengan anthem Anak
Anak sehinggalah mendapat perhatian Biduanita Sharifah Aini dan Siti Nurhaliza
untuk merakam lagu duet bersama.
Gerakan sebegini harus diperluaskan untuk mengembangkan
pasaran muzik hari ini yang semakin ke belakang. Jika tiada yang mahu memulakan
saya kira selamanya kita akan terkandas dan terus tertinggal jauh dengan apa
yang Jakarta ada hari ini.
Comments
Post a Comment