Skip to main content

#BetariSeni Siti Nordiana – Pasca Siti, Artis Kampung, Kisah Skirt Pendek & Kini She's "The Finesse Queen of Leman"



Peralihan muzik tempatan daripada satu transisi Pop ke transisi Pop yang lain mencorak satu prisma muzik yang beragam. Namun sejauh mana pun kita pergi mengikut jauh trend pasaran semasa dengan idea melokalkan bunyiannya agar jadi lebih bersifat tempatan, kita masih tidak mampu menolak suicidal ballad yang saya kira sudah menjadi DNA dalam darah muzik Malaysia.

Daripada zaman P.Ramlee ke Datuk Ahmad Nawab, Saari Amri, Adnan Abu Hassan, Azmeer, LY, Patrick Khamis sehingga generasi hari ini yang banyak dicorakkan Goufran dan Ibnu – suicidal ballad ini masih teguh dalam pasaran tempatan.

Dan selepas Sharifah Aini (Seri Dewi Malam), Uji Rashid (Kali Terakhir Ku LIhat Wajahmu), Salamiah Hassan (Gelombang), Khadijah Ibrahim (Ku Pendam Sebuah Duka) muncul nama-nama baru meningkat naik di hujung 80-an dan 90-an Fauziah Latiff (Gubahan Rindu Puisi Syahdu), Madah Berhelah (Ziana Zain), Hajat (Haida), Pelamin Anganku Musnah (Azie) dan Siti Nurhaliza (Kesilapanku Keegoaanmu).

Semua nama-nama ini mengendong ilham #baladabunuhdirikeranacinta yang saya maksudkan tadi. Produser besar yang nama mereka saya sebut di awal tadi menjadi individu-individu penting dalam mencorak pasaran muzik tempatan.

Suria Records pada awal 90-an sehingga hujung era tersebut menghasilkan banyak nama di legasi Balada tempatan. Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Anis Suraya, Mazleela, Saidatul Erma dan beberapa penyanyi lelaki seperti Aqasha mencipta impak besar pasaran muzik 90-an.

PERCATURAN GURINDAM RINDU BERKASIH & BAYANGAN SITI NURHALIZA
Dalam kerancakan SRC menghasilkan bakat-bakat muda, muncul FMC yang sedikit sebanyak cuba menghasilkan sesuatu dengan formula serupa SRC. Maka datanglah bakat bernama Siti Nordiana yang dilihat sebagai klon gemerlap bintang Siti Nurhaliza ketika itu.  

Siapa sahaja yang sukakan klon bukan? Nama Nana awalnya tidaklah dipandang tinggi. Apatah lagi ketika itu dia keluar ketika nama Siti Nurhaliza sedang di puncak. Kemudian semakin perlahan ditutup dengan populariti Dayang, Sarah dan Misha Omar awal era 2000. Namun begitu Nana masih memiliki kelompok peminat yang banyak

Kelibat Nana dalam persada muzik tempatan ada tetapi tidak dipandang tinggi. Masih berbekal hit seperti Kasihmu Seakan Berubah, Cinta Hanya Sandaran, Dalam Gerimis Hati Menangis dan Bukan Mengungkit Tapi Membangkit.

Selepas kerjaya solonya perlahan, FMC mengubah rentak pemasaran dengan menghasilkan album duet bersama Achik. Dua album Istimewa Untukmu (2003) dan Benang Emas (2006) menghasilkan hit dominan Paling Comel (Aidit Alfian) dan Memori Berkasih (Patrick Khamis).

Dengan dua single duet tersebut dan sebuah album bersama Syura (Firus) masih tidak membawa nama Nana di tahap yang begitu membanggakan. Malah boleh saya katakan belum ada momen terbaik sepanjang dia bersama FMC membawa penjenamaan Siti Nordiana di tahap yang terlalu baik (kecuali penyertaan dalam beberapa siri Juara Lagu).

Biar begitu, menidakkan Nana sebagai penyanyi yang baik tidak sama sekali. Dia memiliki pola suara yang kemas dan tidak berlebih-lebih dalam persembahan vokalnya (jauh sekali untuk membuktikan sesuatu). Biar dilihat sebagai penghibur yang bukan di legasi Senarai A, apa yang patut dibanggakan Nana tidak pernah mengalah apa lagi meninggalkan jauh penggemarnya.

TAK TAHAN, SHORT HAIR, SKIRT PENDEK – NEW BORN NANA?
Album Semakin Jelas (2011) mengubah sedikit arah imej Nana yang lebih daring. Dalam satu persembahan Party EH! Dengan skirt pendek menjadi buah mulut media dan blogger akan penampilannya. Dalam satu kenyataan di mStar Online;

"Sebenarnya saya tak rasa pun gaun itu seksi. Mungkin orang tidak pernah melihat saya berpakaian begitu, sebab itulah ramai yang terkejut sedangkan saya memakai gaun seperti itu mengikut kesesuaian majlis. Lagipun inilah kali pertama saya memakai gaun pendek di depan khalayak.

"Rasanya, gaun yang saya pakai itu tak seksi melampau. Takkan saya nak berimej yang sama saja, nanti orang bosan pula.

"Penampilan baru ini juga merupakan imej sempena dengan keluaran single lagu terbaru saya yang berjudul 'Tak Tahan'. Apapun, saya tak kisah dengan tanggapan orang kerana mereka mempunyai hak untuk memberikan pandangan dan saya terima itu," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Single Tak Tahan ciptaan Manusia Putih dan Nawfas sebetulnya memberi arah baru dalam rencana muzik Nana yang sebelum ini bergantung pada balada kea rah pop yang lebih moderate. Sedap tapi masih gagal memberi faedah buat karier Nana.

DIAM UNTUK KEMBALI MERDU
Selepas insiden itu, kelibat Nana di persada muzik tempatan sedikit kelam. Percaturan lagu Tak Tahan tidak menjadi dan imej skirt pendek masih tidak mampu membawa Nana betul-betul diterima. Hal ini malah membuatkan namanya menjauh daripada coverage media dan tenggelam dek bakat baru yang tumbuh melata ketika itu. 

Sebelum Nana memasuki Gegar Vaganza musim kedua, dia sempat melahirkan sebuah album ketuhanan berjudul Anakku Sayang yang merupakan fasa seterusnya bukan sahaja karier tetapi kehidupan Nana sendiri.

Kembalinya Nana pada fitrah wanita muslimah, imej bertudung ini kami kira seiring usia serta status Nana sendiri. Fasa diam bergerak sebagai pengusaha butik dan kemudian menghasilkan Anakku Sayang menjadi pertaruhan yang selamat buatnya.

Jujur saya terbuai dengan persembahan Nana dalam album ini menampilkan lagu seperti Suara Ibu, Selawat Badariah dan Dodoi Si Dodoi yang sejujurnya bagi saya persembahan paling merdu dalam banyak-banyak album.

Namun puncak gemilang sebenar dalam kerjaya Nana tentu saja ketika dia membuat comeback menerusi program Gegar Vaganza. Ibarat sebuah kejutan manis, prestasi Nana dalam persembahan pentas di GV cukup cemerlang dan sangat membanggakan.

Mungkin faktor kematangan suara dan kebijaksanaan dalam persembahan pentas membuatkan Nana begitu menyerlah sekali sepanjang berada dalam Gegar Vaganza. Dan tidak salah saya katakan jika Nana adalah juara yang paling menyerlah dalam perkembangan karier showbiz berbanding juara lainnya.

THE FINESEE QUEEN OF LEMAN
Saya kira semua juga percaya karier Nana mekar dan semakin gemilang selepas fasa GV. Single ketuhanan Pesanan Teragung membawa muzik Nana ke tahap yang sedikit berbeza daripada apa yang pernah dia persembahkan sebelum ini. Ternyata lagu ciptaan Audi Mok ini memberi kelebihan berbeza pada Nana.

Namun untuk kembali memberi kepuasan sebenar buat penggemarnya, Nana menghasilkan Terus Mencintai yang dihasilkan sepenuhnya penyanyi dan komposer ini. Nana bijak dalam percaturannya. Terus Mencintai membawa nama Nana ke tahap yang lebih tinggi. Dan sejujurnya saya kira Nana telah menaikkan kraf muzik ‘leman’ yang dijuangkan selama ini pada tahap kematangan dalam muzik yang lebih.

Pabila lagu ini tidak diangkat ke final Juara Lagu yang lalu saya agak pelik kerana komposisi lagu ini nyata lebih baik berbanding lagu lain yang ada terutama sekali Bayang dan Menahan Rindu. Tetapi attitude Nana saya kira telah membuatkan Nana win big time di saat Ayda Jebat mempertikaikan keputusan juri, Nana tenang menerima seadanya. Di sini cukup membuktikan biar dia pernah dianggap kampung dek kerana imej dan lagu-lagunya - nyata pemikiran dan disiplin sebagai seorang penyanyi jauh lebih moden, terbuka dan bebas daripada memikirkan hal yang diluar kawalannya.

Saya kira itu jugalah berkat sabarnya seorang anak seni seperti Nana, tidak pernah mengalah apalagi mempersoalkan rezekinya dalam bidang yang diperjuangkan ini. Jauh sekali mahu membuktikan apa-apa kepada marhaen. Cukup dengan melakukan apa yang dia percaya tanpa mengharapkan pujian apa lagi julangan.

Nana tidak pernah terusik setiap kali dijentik. Malah jauh sekali menjadi defensive – jika dia mahu dia pasti boleh saja melenting setiap kali dilabel penyanyi kampung. Namun saya kira dia tidak pernah memikirkan tentang label, kasta dan standard dalam karier nyanyiannya. Dan semoga dengan attitude yang betul ini, terus bersinarlah kerdip bintang The Finesee Queen of Leman ini.

Comments

  1. kesederhanaan Siti Nordiana dalam byk aspek- percakapan, fesyen yg disarung di tubuhnya, imej di kalangan penggiat seni menjadikan dia semakin digemari khalayak. Secara jujur saya juga pernah melabel dia sebagai penyanyi kampung yg tidak berupaya mencapai standard lbh tinggi dlm bidang nyanyian. tetapi selepas GV2, saya kagum dgn semangatnya yg tegar, bersemangat utk memberi dan mencuba apa saja utk kelangsungan karier. Plg special sy rasa, Nana berupaya memikat byk golongan remaja utk menjadi peminat tegar nya, sesuatu yg byk penyanyi seusianya tidak berupaya buat. Ramai penyanyi baru mencuba irama "leman" sebagai pembuka karier mereka dan mereka berjaya. Tetapi "leman" mereka tidak "berseni" seperti nyanyian Siti Nordiana kerana nyanyian Aiman Tino atau Wany Hasrita yg "sangat" kedengaran leman terlalu mendayu-dayu dan kedengaran "lembik" at certian points. Satu2 nya juara GV yg kekal "juara" pada skala bidang hiburan tanahair. Nana kekal popular di samping keluar dgn lg popular dan bermutu seperti Pesanan Teragung, Terus Mencintai dan paling saya sukai Nisan Cinta. Semoga Nana akan terus dipandang serius atas bakat dan kebolehan yg ada padanya dan bkn kekal dilabel sebagai penyanyi kampung dan "not classy". Dato Seri Siti Nurhaliza juga asalnya dari kampung and she is proud of her origin..

    dari saya bukan "music expert" tetapi peminat seni nyanyian lagu Melayu

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

#BetariSeni 25 Tahun Ning Baizura – Soul Queen, Kes Saman, Fantasi Seks & Kisah Di Balik Natural Woman

Saya menghabiskan masa seminggu ini membaca, mendengar dan melihat 25 tahun perkembangan karier seni muzik Ning Baizura yang gelombangnya bukan calang-calang jalur cerita. Jujur, selepas melihat susur galur seni bintang ini saya kira dia masih antara yang cukup kuat dan teguh meneruskan apa yang dijuangkan seawal tahun 1992. Debut Dekat Padamu yang diedarkan pada tahun 1993 , punca segala kemasyuran, kehancuran dan kebangkitan semula Ning dalam arena showbiz tempatan. Dengan debut hebat yang menampilkan hit malar segar seperti Curiga dan Dugaanku itu Ning mengisi segala cerita pojok media baik cetak mahupun elektronik ketika. Lagu-lagunya bukan sahaja mengisi frekuensi radio semasa ketika itu malah membuktikan dia antara yang terbaik, Anugerah Industri Muzik mengiktiraf Dekat Padamu sebagai naskhah Album Terbaik dan Ning diangkat sebagai Penyanyi Wanita Baru Terbaik ketika itu. Ning menjadi penyanyi wanita pertama yang mendapat dua trofi itu pada masa yang sama.

10 Lagu Terbaik Ciptaan Aubrey Suwito

Baru sahaja meraikan 30 tahun pembabitan dalam bidang muzik dengan konsert skala sederhana menampilkan Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Sean Ghazi dan one and only Siti Nurhaliza bersama iringan orkestra Malaysia Philharmonic Orchestra. Nama Aubrey Suwito nyata bukan asing dalam legasi muzik tempatan sebagai pencipta lagu, penerbit dan pengarah muzik. Hasil kerja Aubrey antara yang ke  depan dengan idea-idea Pop yang lebih segar dan moden tanpa terikat dengan idea pasaran semasa. Berikut 10 lagu terbaik yang kami kumpulkan sepanjang karier maestro muzik Pop yang cukup hebat ini. Casey - Seribu Impian (1994) Pop dalam trak ini cukup moden sekali jika mahu dibandingkan dengan lagu-lagu popular sekitar tahun 1994. Saya kira ini antara anthem Aubrey Suwito dalam mencipta mid-tempo pop sebegini. Dan sehingga hari ini masih antara karyanya yang paling asli sekali. Album ini dimuatkan dalam debut Casey (1994) bersama 2 buah lagi lagu ciptaan Aubrey berjudul S