Skip to main content

20 Tahun Adiwarna Sebagai Benchmark Pop Lokal Malar Segar



Ketika Purnama Merindu diedarkan kira-kira 20 tahun yang lalu nama Siti Nurhaliza meniti bibir pengikut muzik Pop lokal bukan sahaja kerana bakat nyanyiannya malah peribadi yang sangat disenangi (sehingga kini). Siti dengan pasukan pemasaran muzik SRC (Suria Records) dengan mastermind Tan Su Lok dan Adnan Abu Hassan meninggikan standard muzik Pop Siti ke tahap yang lebih baik.

Saya masih memiliki salinan kaset yang dibeli ketika masih dibangku sekolah dahulu. Dan obsesi terhadap lagu Sendiri juga Satu Cinta Dua Jiwa dan Tak Boleh Lupa ketika itu sehingga hari ini masih menjadi senarai teratas lagu kegemaran penyanyi hebat ini.

Adiwarna yang membawa maksud amat indah beredar selepas kejayaan Jerat Percintaan, Aku Cinta Padamu dan Cindai yang meneruskan gemilang nama Siti ketika itu yang cukup digilai semesta nusantara.

Tidak salah kiranya kami meletakkan Adiwarna sebagai acuan Pop yang mana formulanya diguna pakai label-label rekod yang lain dalam ‘mencipta’ Siti Nurhaliza versi mereka. Lihat sahaja bagaimana formula menggunakan penerbit yang cukup ramai dalam satu album digunapakai dalam album Satu Per Satu – Elly Mazlein (NAR Records), Sarah (NAR Records) Kembali – Intan Sarafina (Warner Music), Puteri Jelmaan – Liza Hanim (SRC) malah Kirana (BMG) persembahan Nora yang diedar sekitar tahun 2000.

Adiwarna menampilkan nama-nama besar produksi muzik tempatan ketika itu seperti Adnan Abu Hassan, LY, Azmeer, Azlan Abu Hassan, Johari Teh dan Salman yang mencorak Adiwarna sebagai taruhan Pop yang hebat tidak hanya dari segi penjualan 4x Platinum (100,000 Unit) malah meninggikan nama Siti di tanah seberang dengan hit Menyintaimu Selamanya (Sendiri) hasil nukilan LY dan Baiduri.

Cukup kemas sebagai sebuah album Pop yang sederhana produksinya saya kira itulah kunci kejayaan Adiwarna dalam memikat pendengar massa ketika itu. SRC, Siti dan produser muziknya tidak terlalu ambitious merangka kerjaya Siti dan kekal pada fragmen muzik yang tidak mencabar mana-mana level muzik Pop semasa tetapi mencipta benchmark yang menjadi ikutan. 

Menyemak indeks lagu-lagunya daripada hits Purnama Merindu (Azmeer) sehingga all time favorite kami Satu Cinta Dua Jiwa (Azlan Abu Hassan), tidak salah kiranya Adiwarna diangkat sebagai Album Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-6 (1999) menolak terus 3 saingan utamanya Masyur (Noraniza Idris & Pak Ngah) Syukur (Raihan & Farihin Abd Fattah) dan Bikin Wilayah (Search & M.Nasir).

Selain membawa pulang trofi Album Terbaik, Adiwarna turut pulang dengan trofi Album Pop Terbaik mengenepikan saingan hebatnya Anuar Zain (1998), Fauziah Latiff (Jee’98), Saleem (Maaf) dan Slam (Dalam Harapan).

Balada yang ada sebagai pengisian Adiwarna bersifat timeless sesuai dengan selera muzik penggemar muzik tempatan. Dengar struktur muzik Demi Kasih Sayang yang masih diguna pakai oleh bakat-bakat baru baik penyanyi mahupun komposer yang mula masuk industri muzik tempatan.

Pada AIM ke-6, Siti turut mengungguli kategori vokal menewaskan nama senior seperti Aishah, Fauziah Latiff, Noraniza Idris dan junior di SRC iaitu Liza Hanim. Nyanyian merdu Siti nyata tidak dapat disangkal sekalipun sejujurnya saya lebih senang mendengar persembahan sederhana Aishah menerusi album Tiada Akhirnya.

Mendengar Adiwarna hari ini membuatkan saya faham mengapa album ini meminggirkan album lainnya sebagai album terbaik yang diedarkan sekitar tahun 1998. Evergreen mungkin perkataan yang tepat menggambarkan Adiwarna sebagai naskhah Pop malar segar yang diterima sehingga hari ini.






Comments

  1. Hai, bacaan yang menarik! Memandangkan saya peminat muzik Dato' Seri Siti Nurhaliza, Adiwarna memang saya setujui sebagai sebuah album pop kekal segar malar meskipun saya secara peribadi menganggap Transkripsi sebagai magnum opus DSCT.

    Cuma cadangan saya (mungkin untuk penambahbaikan laman Muzik Kita), hidupkan feature 'author' pada setiap post di sini, kerana jujurnya saya kurang jelas, adakah Muzik Kita sebuah gerakan pemerhati-pemerhati muzik secara kolektif atau orang perseorangan. Kerana saya dapati, kebanyakan ulasan dan pendapatan ada bauran citarasa peribadi, jadi eloklah kiranya jika kita (pembaca) dapat tahu siapakah empunya pandangan.

    Sekadar cadangan saja.

    Apapun kandungan yang baik!

    ReplyDelete
  2. Rasanya album Siti Nurhaliza 1997 dan Puncak Kasih Ziana Zain 1997 yang menjadi benchmark pertama menggunakan ramai penerbit.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

#BetariSeni 25 Tahun Ning Baizura – Soul Queen, Kes Saman, Fantasi Seks & Kisah Di Balik Natural Woman

Saya menghabiskan masa seminggu ini membaca, mendengar dan melihat 25 tahun perkembangan karier seni muzik Ning Baizura yang gelombangnya bukan calang-calang jalur cerita. Jujur, selepas melihat susur galur seni bintang ini saya kira dia masih antara yang cukup kuat dan teguh meneruskan apa yang dijuangkan seawal tahun 1992. Debut Dekat Padamu yang diedarkan pada tahun 1993 , punca segala kemasyuran, kehancuran dan kebangkitan semula Ning dalam arena showbiz tempatan. Dengan debut hebat yang menampilkan hit malar segar seperti Curiga dan Dugaanku itu Ning mengisi segala cerita pojok media baik cetak mahupun elektronik ketika. Lagu-lagunya bukan sahaja mengisi frekuensi radio semasa ketika itu malah membuktikan dia antara yang terbaik, Anugerah Industri Muzik mengiktiraf Dekat Padamu sebagai naskhah Album Terbaik dan Ning diangkat sebagai Penyanyi Wanita Baru Terbaik ketika itu. Ning menjadi penyanyi wanita pertama yang mendapat dua trofi itu pada masa yang sama.

10 Lagu Terbaik Ciptaan Aubrey Suwito

Baru sahaja meraikan 30 tahun pembabitan dalam bidang muzik dengan konsert skala sederhana menampilkan Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Sean Ghazi dan one and only Siti Nurhaliza bersama iringan orkestra Malaysia Philharmonic Orchestra. Nama Aubrey Suwito nyata bukan asing dalam legasi muzik tempatan sebagai pencipta lagu, penerbit dan pengarah muzik. Hasil kerja Aubrey antara yang ke  depan dengan idea-idea Pop yang lebih segar dan moden tanpa terikat dengan idea pasaran semasa. Berikut 10 lagu terbaik yang kami kumpulkan sepanjang karier maestro muzik Pop yang cukup hebat ini. Casey - Seribu Impian (1994) Pop dalam trak ini cukup moden sekali jika mahu dibandingkan dengan lagu-lagu popular sekitar tahun 1994. Saya kira ini antara anthem Aubrey Suwito dalam mencipta mid-tempo pop sebegini. Dan sehingga hari ini masih antara karyanya yang paling asli sekali. Album ini dimuatkan dalam debut Casey (1994) bersama 2 buah lagi lagu ciptaan Aubrey berjudul S

#BetariSeni Siti Nordiana – Pasca Siti, Artis Kampung, Kisah Skirt Pendek & Kini She's "The Finesse Queen of Leman"

Peralihan muzik tempatan daripada satu transisi Pop ke transisi Pop yang lain mencorak satu prisma muzik yang beragam. Namun sejauh mana pun kita pergi mengikut jauh trend pasaran semasa dengan idea melokalkan bunyiannya agar jadi lebih bersifat tempatan, kita masih tidak mampu menolak suicidal ballad yang saya kira sudah menjadi DNA dalam darah muzik Malaysia. Daripada zaman P.Ramlee ke Datuk Ahmad Nawab, Saari Amri, Adnan Abu Hassan, Azmeer, LY, Patrick Khamis sehingga generasi hari ini yang banyak dicorakkan Goufran dan Ibnu – suicidal ballad ini masih teguh dalam pasaran tempatan. Dan selepas Sharifah Aini (Seri Dewi Malam), Uji Rashid (Kali Terakhir Ku LIhat Wajahmu), Salamiah Hassan (Gelombang), Khadijah Ibrahim (Ku Pendam Sebuah Duka) muncul nama-nama baru meningkat naik di hujung 80-an dan 90-an Fauziah Latiff (Gubahan Rindu Puisi Syahdu), Madah Berhelah (Ziana Zain), Hajat (Haida), Pelamin Anganku Musnah (Azie) dan Siti Nurhaliza (Kesilapanku Keegoaanmu). Se