#RetrospektifMuzik 10 Album Ini Berusia Sedekad Tahun Ini Dan Masih Menjadi Antara Produksi Pop Terbaik Tempatan
Tidak salah jika saya katakan di sini 2007 adalah tahun Faizal Tahir. Selepas tamatnya program One In A Million namanya mula memanjat carta muzik semasa tanpa mengambil masa yang panjang. Semuanya bermula single Mahakarya Cinta dan selepas itu satu per satu sejarah dicipta. Debut Faizal berjudul Aku.Muzik.Kamu tampil dengan beberapa single evergreen seperti Sampai Syurga, Coba dan Gemuruh yang sehingga hari ini masih menjadi antara naskhah penting perjalanan karier Faizal juga penerbitnya ketika itu Audi Mok dan Aubrey Suwito. Dan sebenarnya tidak salah juga jika saya katakan 2007 adalah tahun cemerlang dan laku keras untuk komposer Audi Mok. Selain terlibat dengan penerbitan album FT dia juga antara yang mengemudi album Liza Hanim (Imagin), Dayang Nurfaizah (2007), Farah Asyikin, Kaer (Menjelma) dan Siti Nurhaliza dengan single Ku Mahu daripada album Hadiah Daripada Hati. Berbicara tentang 10 tahun lalu, muzik Malaysia sebetulnya tidak terlalu banyak berubah. Aud...