Skip to main content

#BetariSeni Noraniza Idris: Dasawarsa Seni Penyanyi Saduran ke Biduanita Irama Melayu Asli Paling Dihormati


Agungnya seorang penghibur bernama Noraniza Idris dalam memperjuangkan seni muzik Melayu Asli berdekad lamanya amat dipandang tinggi. 

Bermula di pertengahan era muzik 80-an sehingga hari ini Noraniza Idris masih belum berhenti apa lagi mengalah memperjuangkan irama Melayu Asli yang dijuangkan lebih 3 dekad ini.

Seperti penyanyi seangkatan Ramlah Ram, Wann, Rohana Jalil dan lainnya – Noraniza Idris juga mula menjual bakat nyanyiannya menerus program Bintang RTM pertama kali pada tahun 1983 dan diikuti tahun 1985. Biar hanya layak ke peringkat separuh akhir, bakat yang dimiliki akhirnya menarik minat Life Records yang menyunting Biduanita ini sebagai penyanyi rakaman.

Biar pun di saat itu dia harus siap bersaing dengan penyanyi yang seusianya namun Noraniza berdiri sendiri dengan bermula sebagai penyanyi saduran yang merakam semula hit-hit tempatan dan nusantara seperti Lela Manja. Kemunculan pertamanya menerusi album kompilasi Melayu Deli (1985) yang turut menampilkan nama besar seperti L.Ramli dan S.Jibeng.

Hanya setahun selepas itu dia muncul dengan debut solo berjudul Kaparinyo yang menampilkan 14 trak saduran dan diterbitkan oleh Omar Taib (Komposer malar segar, Rindu Bayangan). Antara hit album ini Bulan Ditutup Awan dan menerusi album ini jugalah menyaksikan kolaborasi perdananya bersama Abdullah Chik sebelum mereka berdua disatukan dalam album penuh.

Percubaan Noraniza Idris sebagai penyanyi di sekitar tahun 80-an sebetulnya tidaklah begitu dipandang kerana pada ketika itu penyanyi yang merakam lagu-lagu saduran dikecam dengan stigma penyanyi gred B.

Populariti Ramlah Ram dan Wann ketika itu juga menjadi faktor nama Noraniza sedikit tenggelam dan tidaklah begitu diberi perhatian besar sekalipun percubaannya merakam lagu-lagu Pop seperti Inginku Sandarkan Harapan rakaman semula lagu asal Hetty Koes Endang not bad at all cumanya saya kira di era itu pendengar, A&R dan orang-orang radio lebih selektif serta peka terhadap keaslian. Jadi yang harus diangkat hanyalah yang terbaik sahaja (tidak seperti hari ini).

PERCUBAAN DEMI PERCUBAAN YANG MEMATANGKAN KRAF SENI NORANIZA IDRIS
Namun sebagai seorang penyanyi yang besar jiwa dan cintanya terhadap muzik, Noraniza Idris evolve sebagai bukan sahaja penyanyi tetapi performer – penghibur yang bekerja keras dalam menghasilkan kraf seninya sehingga dipandang dan dihargai.

Album pertama bersama Sony Music terbitan Ramli MS & Jimmy Ali
Selepas tamat kontrak bersama Life Records, Noraniza Idris membawa visi baru bersama Sony Music menerusi album Pop Tradisional yang cukup baik penghasilannya pada tahun 1992. Album yang diterbitkan Ramli MS dan Jimmy Ali (dua individu penting pembikinan album Unplugged Ziana Zain) ini menampilkan sisi Pop yang digabung elemen nusantara dalam 10 trak yang dimuatkan.

Mendengar kembali trak yang disusun semula Ramli MS dalam lagu seperti seperti Rindu-Rinduan dan Alangkah Indah Di Waktu Pagi buat saya fikir album ini memberi suntikan yang sedikit moden tetapi agak sukar diterima ketika diedarkan. Album ini sekali lagi dipandang sepi, tetapi sejujurnya mendengar kembali album ini (di YouTube) buat saya fikir terlalu banyak elemen muzik yang bagus harus dihayati dan dijadikan rujukan.

Kembara seni muzik Noraniza Idris selepas itu banyak berlegar dengan kolaborasi bersama Abdullah Chik sehinggalah legenda muzik ini menghembuskan nafas terakhir dalam salah satu persembahan bersama Noraniza Idris di Kelantan sekitar 1995.

KEBANGKITAN SEMULA DAN FENOMENA ALA DONDANG
Nama Noraniza Idris selepas itu sepi untuk beberapa tahun sehinggalah terbukanya syarikat rakaman Suria Records (SRC) memberi satu lagi peluang untuknya melakukan apa yang dia percaya. Dan ya, kali ini dengan usahasama Pak Ngah dan S.Atan, Noraniza Idris mencuri segala tumpuan yang ada pada legasi muzik Pop ketika itu dengan single Awallah Dondang yang cukup besar skala penerimannya.

Nyata album Ala Dondang memberi justifikasi atas usaha keras dan keyakinan bakat ini dalam memperjuangkan jalinan muzik Melayu Asli untuk diterima lebih meluas dan berada di kasta yang lebih tinggi dan dihormati.

Ala Dondang berjaya dijual sehingga 200,000 unit dan album ini turut mendapat pengiktirafan Anugerah Industri Muzik bagi kategori Album Pop Etnik Terbaik dan sekali gus mendapat pencalonan Album Terbaik tahun 1998.

Tanpa mahu menoleh ke belakang, Noraniza Idris bersama SRC bergerak laju untuk terus menghasilkan lagu-lagu tradisi Melayu ini ke peringkat lebih tinggi. Maka terhasil Pop Dikir dalam Dikir Puteri (Album Mashyur) dan eksperimentasi nuansa Borneo dalam Ngajat Tampi (Album Bekaba) dan akar muzik Sewang milik orang asli dalam Iboq (Iktiraf).

Iboq pernah tercalit kontroversi seketika pabila pihak RTM memutuskan untuk menggali isi lagu tersebut sebelum diberi airplay. Namun menurut Noraniza dalam salah satu artikel Utusan Malaysia (https://goo.gl/QStBDUlagu tersebut dibikin dengan kajian mendalam beriring kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Pahang.

Begitu halus sekali usaha Noraniza Idris dalam menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai pemuzik agar segala yang terhasil bukan semborono. Setiap lagu dihasilkan berisi dan didahului dengan kajian mendalam sebelum dikomersilkan bagi pasaran meluas. Kerja keras yang saya cukup sanjung usahanya.

Ternyata kreativiti penyanyi ini tidak hanya terikat pada penghasilan lagu yang tersendiri sahaja tetapi dia bergerak kemas dan bijak dengan menggunakan pentas sebagai ruang untuk dia terus bereksperimentasi dan berkreativiti.

Pentas yang saya maksudkan tentu saja Anugerah Juara Lagu. Noraniza saya kira sangat bijak menggunakan peluang yang ada untuk digunakan sepenuhnya dengan cukup bermanfaat. Bermula dengan pembabitan AJL 1997 dengan Awallah Dondang maka seMalaysia bergemalah irama Zapin didendang penuh santun dan disiplin di pentas AJL.

Kegigihan serta kerja keras bintang ini dalam memberikan persembahan terbaik sebetulnya bukan untuk apa jua pengiktirafan tetapi saya kira niat sebenarnya untuk mengetengahkan lagu-lagu tradisi ini ke peringkat lebih luas dan dikenali juga difahami adalah lebih tinggi nilainya.

Persembahan-persembahannya di pentas AJL memberi warna yang cukup tersendiri. Pengalaman sebenar menikmati muzik di pentas dengan iringan muzik live yang mengasyikkan. Siapa saja boleh lupa dengan persembahan cukup kemas Hatinya Tak Tahan?


Liuk lembut bahasa tubuh dalam gerak tari yang disusun dengan disiplin tinggi cukup magical sekali. To be honest saya masih kurang setuju juri memilih Erti Hidup (Dayang Nurfaizah) sebagai juara Etnik Kreatif kerana estetika seni muzik dan persembahan Hatinya Tak Tahan begitu agung sekali penghasilannya.

Saya tidak pasti berapa ramai individu yang memasuki bidang seni muzik komersil tempatan yang mengendong disiplin setebal Noraniza Idris. Jauh sekali mahukan glamor atau populariti kerana saya percaya kehadiran bintang ini sebagai anak seni sekadar mahu berkongsi bakat serta kepercayaannya terhadap muzik Melayu Asli yang semakin haus dan terpinggir ini.

JIWA BESAR ‘AURA’ DAN ‘SAWO MATANG’
Saya tidak mahu begitu mengulas album-album awal Noraniza bersama SRC kerana saya faham semua sudah sedia maklum akan rencana muziknya. Cuma dua album solo penuh terakhirnya, Aura (album terakhir bersama SRC) dan Sawo’ Matang (album studio selepas fasa SRC) yang mahu saya kongsikan betapa besar dan universalnya Noraniza Idris dalam menzahirkan karyanya.

Sepanjang bersama SRC album Aura antara kegemaran peribadi saya. Menerusi album ini Noraniza sudah mula bereksperimen dengan muzik yang lebih beragam atau fusion. Membawa standard muzik irama Malaysia ke peringkat lebih global.

Produksi Aura sangat hebat menurut saya. Lihat saja bagaimana Hala Timur mengembalikan gemilangnya dikir barat dengan suntikan melodi dan lirik yang cukup humanis sekali. Itu belum saya ulas lanjut skala besar muzik dalam lagu seperti Berendoi, Putera Lantai Emas, Syakuntala dan Raja Alang.

Semuanya bergerak atas satu repertoire muzik yang cukup gemilang dan tinggi nilai seninya. Mendengar Aura berserta inlay album ini mampu membantu kita sebagai pendengar memahami isi lagu yang ditulis. Noraniza menulis terperinci akan makna setiap lagu yang ada dalam album ini.

Di sini saya kira nilai hiburan dalam lagu-lagunya bersifat ilmiah. Namun sayangnya jika anda tidak memiliki fizikal album ini anda tidak faham apa yang saya maksudkan. Cara terbaik menikmati Aura adalah dengan membaca isi yang ditulis dalam album ini.

Begitu juga dengan Sawo’ Matang sebuah lagi persembahan cukup rich hasil bunyiannya. Kualiti rakaman album ini dengan susunan string, bassline power dan kombinasi vokal Noraniza dan back-up vocal yang menyatu baik.

Sawo’ Matang bagi saya adalah satu pelayaran muzik nusantara Melayu yang cukup halus penghasilannya. Setiap kali mendengar album ini akan sentiasa wujud kekaguman pada setiap lagu yang dihasilkan. Dua lagu ciptaan Noraniza Idris dalam album ini Hatinya Tak Tahan dan Ayuh Juragan! Masih saya letakkan sebagai lagu terbaik dalam legasi muzik tradisi tempatan.

Mendengar Sawo’ Matang mengingatkan saya pada estetika seni filem dan muzik Drupadi atau Setan Jawa yang dimodenkan dengan bunyian synth dan dikemaskan dengan susunan muzik orchestra yang cukup membuai.

Dengarkan sahaja betapa indahnya susunan muzik Disebut Jangan Dikenang Jangan. Jauh saya melayang membayangkan lagu ini dipersembahkan dalam full string orchestra secara live. Dan feel Noraniza dalam lagu ini melampaui mana-mana persembahan lainnya.


KES CERAI SMS DAN TENGGELAM BURAM SEBUTIR BINTANG 
Tahun 2005 selepas fasa Sawo’ Matang Noraniza Idris dihimpit kontroversi. Saya kira ini lumrah seorang Primadona – jatuh bangun yang menjadikan ia azimat juga kekuatan untuk meneruskan apa yang diperjuangkan.

Kisah diceraikan Fareez melalui SMS menjadi buah mulut, perhatian media dan massa yang membuatkan kerdip bintang Primadona ini buram sehingga selepas itu masyarakat seperti meminggirnya. 

Dalam satu artikel panjang yang cukup menarik daripada Utusan Online Noraniza Idris bercerita lengkap tentang perceraiannya yang sedikit sebanyak menggangu fokus ketika menyertai Separuh Akhir Muzik-Muzik.

Meskipun hatinya tidak tenteram kerana dibebani pelbagai masalah, Noraniza tetap meneruskan perjuangan seninya termasuk menyertai pertandingan separuh akhir Muzik -Muzik pada Oktober lalu.

"Kalau ikutkan hati, saya tidak mahu menyertainya tapi saya kasihan dengan peminat-peminat yang mengharapkan penyertaan saya itu. 

Belum pernah saya menyertai Muzik-Muzik tanpa pergi latihan. Terasa diri saya seperti artis yang tidak berdisiplin pula. 

Bila tidak buat latihan, saya sedikit gelisah sewaktu menyanyi di pentas. Alhamdulillah, saya terpilih juga ke peringkat akhir Muzik-Muzik yang akan berlangsung pada 15 Januari depan (2005).


"Sebenarnya sewaktu di belakang pentas pada pertandingan separuh akhir Muzik-Muzik itu, saya sedih sangat kerana selama ini sebelum menyanyi, Fareez akan peluk saya untuk memberi semangat. Saya masih tidak dapat mengubah rutin yang sering dilakukan selama ini." 

"Sebelum bertanding, saya tetap hantar SMS kepadanya minta restu walaupun dia tidak pernah membalas SMS saya selepas saya menerima SMS daripadanya pada September lalu,'' kata Noraniza Idris menceritakan pengalamannya selepas tidak tinggal sebumbung dengan suami. - Petikan Utusan Online (2005)

NORANIZA IDRIS HARI INI
Masih lagi meneruskan legasi warisan muzik dan budaya tradisi Melayu, Noraniza Idris hari ini aktif dalam kempern #SaveIramaMalaysia dengan pelbagai aktiviti kebudayaan di bawah Malay World Cultural Paradise (MWCP) badan yang mencari dan melatih bakat-bakat muda yang berminat dalam seni budaya Melayu.

Tahun lalu sahaja dia sudah menyiap edarkan dua single Wangikanlah Hatimu ciptaan Amir Jahari dan AG Coco dan Permata Saadah (Rosli Selasih) yang cukup hebat penciptaannya. Saya masih keliru mengapa radio masih tidak mahu memainkan Wangikanlah Hatimu yang cukup moden, catchy dan sedap sekali melodinya.

Betari seni yang satu ini saya kira sudah terlalu banyak berbudi dalam meneruskan kelangsungan akar budaya Melayu yang entah siapa lagi memiliki jiwa sebesarnya. Saya kagum hormat dengan segala usaha yang dilakukan. Bukan mudah, bukan sedikit usaha kudrat yang telah dilaksanakan.

Tapi di mana penghargaan yang kita letakkan padanya? Radio sudah tidak mempedulikan apa lagi surat khabar jauh sekali majalah yang semakin laju mengejar muka baru bagi kepentingan rating penerbitan.

Mungkin yang tinggal hanya dia yang mahu terus meninggikan akar budaya muzik Melayu. Semoga usaha mulia Noraniza Idris ini berbayar setimpal dengan apa yang telah dia usahakan. Usah biar sampai masa hilangnya permata ini beriiring kesal baru kita mahu mengangkatnya kembali.

Comments

Popular posts from this blog

#BetariSeni 25 Tahun Ning Baizura – Soul Queen, Kes Saman, Fantasi Seks & Kisah Di Balik Natural Woman

Saya menghabiskan masa seminggu ini membaca, mendengar dan melihat 25 tahun perkembangan karier seni muzik Ning Baizura yang gelombangnya bukan calang-calang jalur cerita. Jujur, selepas melihat susur galur seni bintang ini saya kira dia masih antara yang cukup kuat dan teguh meneruskan apa yang dijuangkan seawal tahun 1992. Debut Dekat Padamu yang diedarkan pada tahun 1993 , punca segala kemasyuran, kehancuran dan kebangkitan semula Ning dalam arena showbiz tempatan. Dengan debut hebat yang menampilkan hit malar segar seperti Curiga dan Dugaanku itu Ning mengisi segala cerita pojok media baik cetak mahupun elektronik ketika. Lagu-lagunya bukan sahaja mengisi frekuensi radio semasa ketika itu malah membuktikan dia antara yang terbaik, Anugerah Industri Muzik mengiktiraf Dekat Padamu sebagai naskhah Album Terbaik dan Ning diangkat sebagai Penyanyi Wanita Baru Terbaik ketika itu. Ning menjadi penyanyi wanita pertama yang mendapat dua trofi itu pada masa yang sama.

10 Lagu Terbaik Ciptaan Aubrey Suwito

Baru sahaja meraikan 30 tahun pembabitan dalam bidang muzik dengan konsert skala sederhana menampilkan Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Sean Ghazi dan one and only Siti Nurhaliza bersama iringan orkestra Malaysia Philharmonic Orchestra. Nama Aubrey Suwito nyata bukan asing dalam legasi muzik tempatan sebagai pencipta lagu, penerbit dan pengarah muzik. Hasil kerja Aubrey antara yang ke  depan dengan idea-idea Pop yang lebih segar dan moden tanpa terikat dengan idea pasaran semasa. Berikut 10 lagu terbaik yang kami kumpulkan sepanjang karier maestro muzik Pop yang cukup hebat ini. Casey - Seribu Impian (1994) Pop dalam trak ini cukup moden sekali jika mahu dibandingkan dengan lagu-lagu popular sekitar tahun 1994. Saya kira ini antara anthem Aubrey Suwito dalam mencipta mid-tempo pop sebegini. Dan sehingga hari ini masih antara karyanya yang paling asli sekali. Album ini dimuatkan dalam debut Casey (1994) bersama 2 buah lagi lagu ciptaan Aubrey berjudul S

#BetariSeni Siti Nordiana – Pasca Siti, Artis Kampung, Kisah Skirt Pendek & Kini She's "The Finesse Queen of Leman"

Peralihan muzik tempatan daripada satu transisi Pop ke transisi Pop yang lain mencorak satu prisma muzik yang beragam. Namun sejauh mana pun kita pergi mengikut jauh trend pasaran semasa dengan idea melokalkan bunyiannya agar jadi lebih bersifat tempatan, kita masih tidak mampu menolak suicidal ballad yang saya kira sudah menjadi DNA dalam darah muzik Malaysia. Daripada zaman P.Ramlee ke Datuk Ahmad Nawab, Saari Amri, Adnan Abu Hassan, Azmeer, LY, Patrick Khamis sehingga generasi hari ini yang banyak dicorakkan Goufran dan Ibnu – suicidal ballad ini masih teguh dalam pasaran tempatan. Dan selepas Sharifah Aini (Seri Dewi Malam), Uji Rashid (Kali Terakhir Ku LIhat Wajahmu), Salamiah Hassan (Gelombang), Khadijah Ibrahim (Ku Pendam Sebuah Duka) muncul nama-nama baru meningkat naik di hujung 80-an dan 90-an Fauziah Latiff (Gubahan Rindu Puisi Syahdu), Madah Berhelah (Ziana Zain), Hajat (Haida), Pelamin Anganku Musnah (Azie) dan Siti Nurhaliza (Kesilapanku Keegoaanmu). Se