#BetariSeni Siti Nordiana – Pasca Siti, Artis Kampung, Kisah Skirt Pendek & Kini She's "The Finesse Queen of Leman"
Peralihan
muzik tempatan daripada satu transisi Pop ke transisi Pop yang lain mencorak
satu prisma muzik yang beragam. Namun sejauh mana pun kita pergi mengikut jauh
trend pasaran semasa dengan idea melokalkan bunyiannya agar jadi lebih bersifat
tempatan, kita masih tidak mampu menolak suicidal ballad yang saya kira sudah
menjadi DNA dalam darah muzik Malaysia.
Daripada
zaman P.Ramlee ke Datuk Ahmad Nawab, Saari Amri, Adnan Abu Hassan, Azmeer, LY,
Patrick Khamis sehingga generasi hari ini yang banyak dicorakkan Goufran dan
Ibnu – suicidal ballad ini masih
teguh dalam pasaran tempatan.
Dan selepas
Sharifah Aini (Seri Dewi Malam), Uji Rashid (Kali Terakhir Ku LIhat Wajahmu),
Salamiah Hassan (Gelombang), Khadijah Ibrahim (Ku Pendam Sebuah Duka) muncul
nama-nama baru meningkat naik di hujung 80-an dan 90-an Fauziah Latiff (Gubahan
Rindu Puisi Syahdu), Madah Berhelah (Ziana Zain), Hajat (Haida), Pelamin
Anganku Musnah (Azie) dan Siti Nurhaliza (Kesilapanku Keegoaanmu).
Semua
nama-nama ini mengendong ilham #baladabunuhdirikeranacinta yang saya maksudkan
tadi. Produser besar yang nama mereka saya sebut di awal tadi menjadi individu-individu
penting dalam mencorak pasaran muzik tempatan.
Suria
Records pada awal 90-an sehingga hujung era tersebut menghasilkan banyak nama
di legasi Balada tempatan. Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Anis Suraya, Mazleela,
Saidatul Erma dan beberapa penyanyi lelaki seperti Aqasha mencipta impak besar
pasaran muzik 90-an.
PERCATURAN GURINDAM RINDU BERKASIH &
BAYANGAN SITI NURHALIZA
Dalam kerancakan
SRC menghasilkan bakat-bakat muda, muncul FMC yang sedikit sebanyak cuba
menghasilkan sesuatu dengan formula serupa SRC. Maka datanglah bakat bernama
Siti Nordiana yang dilihat sebagai klon gemerlap bintang Siti Nurhaliza ketika
itu.
Siapa sahaja
yang sukakan klon bukan? Nama Nana awalnya tidaklah dipandang tinggi. Apatah
lagi ketika itu dia keluar ketika nama Siti Nurhaliza sedang di puncak.
Kemudian semakin perlahan ditutup dengan populariti Dayang, Sarah dan Misha
Omar awal era 2000. Namun begitu Nana masih memiliki kelompok peminat yang
banyak
Kelibat Nana
dalam persada muzik tempatan ada tetapi tidak dipandang tinggi. Masih berbekal
hit seperti Kasihmu Seakan Berubah,
Cinta Hanya Sandaran, Dalam Gerimis Hati Menangis dan Bukan Mengungkit Tapi Membangkit.
Selepas
kerjaya solonya perlahan, FMC mengubah rentak pemasaran dengan menghasilkan
album duet bersama Achik. Dua album Istimewa Untukmu (2003) dan Benang Emas
(2006) menghasilkan hit dominan Paling
Comel (Aidit Alfian) dan Memori
Berkasih (Patrick Khamis).
Dengan dua
single duet tersebut dan sebuah album bersama Syura (Firus) masih tidak membawa nama Nana di tahap yang begitu
membanggakan. Malah boleh saya katakan belum ada momen terbaik sepanjang dia
bersama FMC membawa penjenamaan Siti Nordiana di tahap yang terlalu baik (kecuali
penyertaan dalam beberapa siri Juara Lagu).
Biar begitu,
menidakkan Nana sebagai penyanyi yang baik tidak sama sekali. Dia memiliki pola
suara yang kemas dan tidak berlebih-lebih dalam persembahan vokalnya (jauh
sekali untuk membuktikan sesuatu). Biar dilihat sebagai penghibur yang bukan di
legasi Senarai A, apa yang patut dibanggakan Nana tidak pernah mengalah apa
lagi meninggalkan jauh penggemarnya.
TAK TAHAN, SHORT HAIR, SKIRT PENDEK – NEW BORN
NANA?
Album
Semakin Jelas (2011) mengubah sedikit arah imej Nana yang lebih daring. Dalam
satu persembahan Party EH! Dengan skirt pendek menjadi buah mulut media dan blogger
akan penampilannya. Dalam satu kenyataan di mStar Online;
"Sebenarnya saya tak rasa pun gaun itu
seksi. Mungkin orang tidak pernah melihat saya berpakaian begitu, sebab itulah
ramai yang terkejut sedangkan saya memakai gaun seperti itu mengikut kesesuaian
majlis. Lagipun inilah kali pertama saya memakai gaun pendek di depan khalayak.
"Rasanya, gaun yang saya pakai itu tak
seksi melampau. Takkan saya nak berimej yang sama saja, nanti orang bosan pula.
"Penampilan baru ini juga merupakan imej
sempena dengan keluaran single lagu terbaru saya yang berjudul 'Tak Tahan'.
Apapun, saya tak kisah dengan tanggapan orang kerana mereka mempunyai hak untuk
memberikan pandangan dan saya terima itu," katanya ketika dihubungi mStar
Online.
Single Tak
Tahan ciptaan Manusia Putih dan Nawfas sebetulnya memberi arah baru dalam
rencana muzik Nana yang sebelum ini bergantung pada balada kea rah pop yang lebih
moderate. Sedap tapi masih gagal memberi faedah buat karier Nana.
DIAM UNTUK KEMBALI MERDU
Selepas insiden itu, kelibat Nana di persada muzik tempatan sedikit kelam. Percaturan lagu Tak Tahan tidak menjadi dan imej skirt pendek masih tidak mampu membawa Nana betul-betul diterima. Hal ini malah membuatkan namanya menjauh daripada coverage media dan tenggelam dek bakat baru yang tumbuh melata ketika itu.
Sebelum Nana memasuki Gegar Vaganza musim kedua, dia sempat melahirkan sebuah album ketuhanan berjudul Anakku Sayang yang merupakan fasa seterusnya bukan sahaja karier tetapi kehidupan Nana sendiri.
Sebelum Nana memasuki Gegar Vaganza musim kedua, dia sempat melahirkan sebuah album ketuhanan berjudul Anakku Sayang yang merupakan fasa seterusnya bukan sahaja karier tetapi kehidupan Nana sendiri.
Kembalinya
Nana pada fitrah wanita muslimah, imej bertudung ini kami kira seiring usia
serta status Nana sendiri. Fasa diam bergerak sebagai pengusaha butik dan
kemudian menghasilkan Anakku Sayang menjadi pertaruhan yang selamat buatnya.
Jujur saya
terbuai dengan persembahan Nana dalam album ini menampilkan lagu seperti Suara
Ibu, Selawat Badariah dan Dodoi Si Dodoi yang sejujurnya bagi saya persembahan
paling merdu dalam banyak-banyak album.
Namun puncak
gemilang sebenar dalam kerjaya Nana tentu saja ketika dia membuat comeback
menerusi program Gegar Vaganza. Ibarat sebuah kejutan manis, prestasi Nana dalam
persembahan pentas di GV cukup cemerlang dan sangat membanggakan.
Mungkin faktor
kematangan suara dan kebijaksanaan dalam persembahan pentas membuatkan Nana begitu
menyerlah sekali sepanjang berada dalam Gegar Vaganza. Dan tidak salah saya katakan
jika Nana adalah juara yang paling menyerlah dalam perkembangan karier showbiz
berbanding juara lainnya.
THE FINESEE QUEEN OF LEMAN
Saya kira
semua juga percaya karier Nana mekar dan semakin gemilang selepas fasa GV. Single
ketuhanan Pesanan Teragung membawa muzik Nana ke tahap yang sedikit berbeza
daripada apa yang pernah dia persembahkan sebelum ini. Ternyata lagu ciptaan
Audi Mok ini memberi kelebihan berbeza pada Nana.
Namun untuk
kembali memberi kepuasan sebenar buat penggemarnya, Nana menghasilkan Terus
Mencintai yang dihasilkan sepenuhnya penyanyi dan komposer ini. Nana bijak
dalam percaturannya. Terus Mencintai membawa nama Nana ke tahap yang lebih
tinggi. Dan sejujurnya saya kira Nana telah menaikkan kraf muzik ‘leman’ yang
dijuangkan selama ini pada tahap kematangan dalam muzik yang lebih.
Saya kira itu jugalah berkat sabarnya seorang anak seni seperti Nana, tidak pernah mengalah apalagi mempersoalkan rezekinya dalam bidang yang diperjuangkan ini. Jauh sekali mahu membuktikan apa-apa kepada marhaen. Cukup dengan melakukan apa yang dia percaya tanpa mengharapkan pujian apa lagi julangan.
Nana tidak
pernah terusik setiap kali dijentik. Malah jauh sekali menjadi defensive – jika
dia mahu dia pasti boleh saja melenting setiap kali dilabel penyanyi kampung. Namun
saya kira dia tidak pernah memikirkan tentang label, kasta dan standard dalam
karier nyanyiannya. Dan semoga dengan attitude
yang betul ini, terus bersinarlah kerdip bintang The Finesee Queen of Leman
ini.
kesederhanaan Siti Nordiana dalam byk aspek- percakapan, fesyen yg disarung di tubuhnya, imej di kalangan penggiat seni menjadikan dia semakin digemari khalayak. Secara jujur saya juga pernah melabel dia sebagai penyanyi kampung yg tidak berupaya mencapai standard lbh tinggi dlm bidang nyanyian. tetapi selepas GV2, saya kagum dgn semangatnya yg tegar, bersemangat utk memberi dan mencuba apa saja utk kelangsungan karier. Plg special sy rasa, Nana berupaya memikat byk golongan remaja utk menjadi peminat tegar nya, sesuatu yg byk penyanyi seusianya tidak berupaya buat. Ramai penyanyi baru mencuba irama "leman" sebagai pembuka karier mereka dan mereka berjaya. Tetapi "leman" mereka tidak "berseni" seperti nyanyian Siti Nordiana kerana nyanyian Aiman Tino atau Wany Hasrita yg "sangat" kedengaran leman terlalu mendayu-dayu dan kedengaran "lembik" at certian points. Satu2 nya juara GV yg kekal "juara" pada skala bidang hiburan tanahair. Nana kekal popular di samping keluar dgn lg popular dan bermutu seperti Pesanan Teragung, Terus Mencintai dan paling saya sukai Nisan Cinta. Semoga Nana akan terus dipandang serius atas bakat dan kebolehan yg ada padanya dan bkn kekal dilabel sebagai penyanyi kampung dan "not classy". Dato Seri Siti Nurhaliza juga asalnya dari kampung and she is proud of her origin..
ReplyDeletedari saya bukan "music expert" tetapi peminat seni nyanyian lagu Melayu